Saturday, 5 November 2011

Akhir penantian......gembira dan lega

"Yeay, jom kita balik!" Ada seorang budak menjerit kegembiraan di belakang saya. Gembira kerana penantiannya telah berakhir. Mungkin juga itu tanda satu kelegaan kepada penantiannya yang memenatkan.

Barangkali dia menunggu ibunya yang membuat pemeriksaan di klinik ini. Saya tidak pasti. Kerana saya tidak pun menoleh dan tidak tahu sebenarnya suara itu datang dari budak yang mana satu.

Orang di sini ramai. Suasana mungkin tidak selesa. Dia tidak boleh berlari-lari ke sana sini seperti di taman permainan. Rasa tidak bebas.... atau mungkin ketika dia baru mula mahu melompat atau bergurau-gurau ibu sudah beri jelingan amaran.

Letih!

Seperti budak itu, mungkin sahaja kita merasakan penantian itu sesuatu yang memenatkan, mendebarkan dan menuntut kesabaran.

Dan mungkin seperti dia juga, kita akan berasa gembira dan lega selepas penantian itu berakhir. Lebih menggembirakan lagi apabila hasil keputusannya nanti sesuatu yang menyeronokkan.

Tidak dinafikan yang kita memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menempuh sebuah penantian. Semoga Allah melimpahkan kita kesabaran yang tidak berpenghujung untuk meniti setiap saat itu... Mudah-mudahan juga hasilnya nanti akan membuahkan kuntuman senyum yang menghilangkan segala resah menunggu.....

No comments:

Post a Comment